Daerah Timur Laut Penutupan Jalan Tarikh Kejadian : Selasa, 30-Jan-2018


INFO TRAFIK (PERINGATAN, PETA DILAMPIRKAN BERSAMA):

SEMPENA PERAYAAN THAIPUSAM: 22 JALAN UTAMA DI GEORGETOWN DITUTUP

Georgetown,Januari 2018 - Sebanyak 22 jalan utama di sekitar bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat mulai 29 Januari ini bagi memberi laluan kepada perarakan Pedati Perak dan Pedati Emas sempena Thaipusam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, berkata laluan itu termasuk Lebuh Queen, Lebuh Chulia, Jalan Magazine, Jalan Transfers, Jalan Masjid Kapitan Keling dan Lebuh China.

"Perarakan pada 30 Januari akan bergerak dari kuil di Lebuh Queen dan melalui 20 jalan utama sepanjang 7.6 kilometer. Pedati Emas akan memulakan perjalanan pada jam 5 pagi, manakala Pedati Perak pada jam 7 pagi.

"Perarakan balik pula pada 1 Februari dan akan melalui 12 jalan utama sepanjang 6.5 kilometer, bermula di kuil di Jalan Air Terjun dan berakhir di Lebuh Queen.

"Orang ramai yang ingin melalui kawasan terbabit pada hari berkenaan dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan lalu lintas," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 1,500 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan selama 24 jam bermula 29 Januari sehingga 2 Februari.

Thaiveegan menganggarkan kehadiran lebih 1.2 juta penganut Hindu, termasuk pelancong tempatan dan luar negara pada sambutan Thaipusam di negeri ini.

"Walaupun kita tidak menerima sebarang ancaman keganasan tetapi polis tetap akan memastikan sambutan Thaipusam diraikan secara aman dan sejahtera seperti tahun terdahulu," katanya.


#Mbpp #Penang #Trafik